PUTRAJAYA: Kotak hitam helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terhempas di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor dihantar terus ke Itali untuk dianalisa bagi mengetahui punca nahas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini memandangkan pengeluar helikopter itu iaitu Agusta beribu pejabat di negara itu.
“Kami temui sedikit kesan kerosakan yang memerlukan kotak hitam pesawat jenis Agusta Westland AW139 itu terus dianalisis oleh pengeluarnya.
“Itu (analisis kotak hitam) lebih selamat untuk kita ketahui lebih tepat rakaman yang dirakam dari kokpit helikopter itu.
“Kita baru sahaja menghantar kotak hitam itu dan ia mengambil sedikit masa untuk dianalisis, malah perkembangan lanjut akan dimaklumkan Maritim Malaysia kelak,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri APMM di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kotak hitam helikopter itu berjaya ditemui pada 17 April lalu iaitu 44 hari selepas pesawat itu melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 5 Mac lalu.
Dalam kejadian pada 5 Mac itu, pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Mengulas insiden serangan membabitkan kecederaan anggota Maritim Malaysia di perairan Kunak, Sabah pada 7 April lalu, Saifuddin berkata, anggota terbabit iaitu Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, masih dalam bercuti bagi merawat kecederaan dialami.
Menurutnya, anggota itu telah menjalani dua pembedahan sebagai ikhtiar untuk merawat kecederaan seriua di mata.
“Kita masih menunggu laporan dari doktor dan pada masa sama, dia diberi cuti sakit untuk menerima rawatan lebih baik,” katanya.
Dalam serangan itu, dua anggota Maritim Malaysia yang dalam tugasan Ops Khas Pagar Laut cedera ditembak, selepas menghampiri sebuah bot untuk melakukan pemeriksaan.
Mereka ditembak dengan empat das tembakan dilepaskan dari bot berkenaan ke bot maritim menyebabkkan Zainal cedera di mata kiri, manakala Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan. – UTUSAN






