WROCLAW: Kekalahan Manchester United 2-4 kepada AC Milan dalam aksi persahabatan pramusim terakhir di Wroclaw, Poland mendedahkan kepincangan ketara benteng pertahanan skuad bimbingan Michael Carrick menjelang bermulanya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
United dua kali mendahului menerusi tandukan Harry Maguire dan jaringan Patrick Dorgu, namun kelemahan di bahagian pertahanan menghukum mereka apabila Milan bangkit meledak empat gol.
Carrick mengakui kecewa dengan persembahan anak buahnya, namun percaya aksi pramusim yang dilalui memberikan banyak manfaat menjelang saingan EPL musim 2026/27.
“Secara keseluruhan, pramusim ini sangat baik dan banyak perkara positif yang boleh diambil daripadanya.
“Namun, kami kecewa dengan keputusan hari ini. Kami tidak bermain dengan baik dan ada sebab untuk itu. Dalam beberapa aspek, kami perlu belajar daripadanya dan melakukan penambahbaikan.
“Ramai pemain akan menjadi lebih baik selepas mendapat minit permainan ini. Kami mempunyai skuad yang baik dan masih ada beberapa keputusan yang perlu dibuat,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan United tewas dua kali daripada enam perlawanan pramusim, termasuk kemenangan ke atas Atletico Madrid serta keputusan seri 1-1 menentang juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG).
Aksi berkenaan turut menyaksikan Marcus Rashford kembali membuat penampilan bersama United selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama juara La Liga, Barcelona.
Bagaimanapun, kapten Bruno Fernandes sekali lagi gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas percubaannya diselamatkan penjaga gol Milan, Lorenzo Torriani.
United kini perlu segera mengalihkan fokus kepada saingan sebenar apabila membuka tirai EPL musim baharu dengan kunjungan ke Hull City pada 22 Ogos ini.-AGENSI






