PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran Awal 2 kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana ke peringkat negeri dan daerah terbabit.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, nota tersebut untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah atau Negeri dan mengambil segala tindak balas berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Katanya, ia susulan daripada status bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 151-200 dalam tempoh melebihi 24 jam di Rompin, Pahang.
“IPU yang direkodkan di laman web Jabatan Alam Sekitar pada pukul 11 pagi ini menunjukkan 27 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 39 kawasan pada tahap sederhana dan satu kawasan pada tahap tidak sihat iaitu di Rompin, Pahang (IPU:166).
“Ia disebabkan oleh kebakaran tanah gambut di Ladang Pahang Coconut Valley, berhampiran Kampung Kerpal, Muadzam Shah, Pahang. Tiada bacaan tersedia di satu stesen pengawasan kerana telah digerakkan ke Kuala Terengganu, Terengganu untuk memantau kualiti udara di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.
Ujarnya, koordinasi di antara agensi berkaitan dan pemilik ladang adalah bagi merancang kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran turut telah diadakan.
Selain itu, Wan Abdul Latiff berkata, peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 30 April 2024 melaporkan kawasan selatan ASEAN mengalami cuaca hujan.
“Titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia tetapi tiada kepulan asap dikesan oleh imej satelit. Tiupan angin di kawasan selatan ASEAN bergerak perlahan dan berubah arah.
“Oleh itu, semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.
“Juga diingatkan untuk mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya. – UTUSAN





