KOTA KINABALU: Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu, Asisten Komisioner Kasim Muda berazam mengurangkan rasa ketakutan terhadap jenayah dalam kalangan masyarakat.
Beliau mahu masyarakat di pusat bandar raya ini tidak terlalu takut untuk sama-sama membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menangani jenayah.
“Fokus utama saya adalah ingin mengurangkan ketakutan dalam kalangan masyarakat berkenaan jenayah dan bagi saya ‘tiada hari tiada tangkapan untuk narkotik’, itu saya punya visi dan misi,” katanya ketika ditemui semasa majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Kasim yang merupakan bekas Ketua Polis Daerah Belurun berkata, pelantikan itu adalah satu tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan PDRM maka, beliau akan cuba melakukan yang terbaik.
Menurutnya, beliau akan meneruskan apa juga yang dilakukan oleh ketua polis daerah terdahulu namun, pada masa sama, akan ada perubahan-perubahan mengikut perkembangan dari masa ke semasa.
Kata beliau, pengalaman selama bertugas selama 37 tahun dalam PDRM termasuk selama 12 tahun dalam Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) akan dimanfaatkan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu.
Kasim berkata, tumpuan turut diberi kepada tangkapan narkotik kerana jenayah yang berlaku biasanya bermula daripada penglibatan terhadap dadah.
“Di Beluran situasi agak berbeza dengan Kota Kinanalu kerana ini adalah bandar raya manakala Beluran pula kawasan yang terpencil yang mempunyai kekangan infrastruktur serta kenderaan perhubungan.
“Namun di sini, semuanya canggih maka, saya akan tukar corak pemikiran dalam menjalankan tugas di sini mengikut peredaran masa.
“Kita akan cuba buat yang terbaik termasuk menjalin hubungan yang baik dengan komuniti serta mengekalkan apa yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan PDRM,” katanya.
Kasim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu bagi menggantikan Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah yang bersara wajib. – UTUSAN






