PETALING JAYA: Kerajaan akan membangunkan indikator khusus menerusi pembangunan indikator keterjaminan makanan yang berdaya saing bagi mengukur tahap keterjaminan makanan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, itu antara perkara yang diperhalusi melalui Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024 yang bersidang semalam.
Beliau berkata, beberapa inisiatif diperhalusi dalam mesyuarat tersebut antaranya mengadakan kerjasama serta kerjasama dengan semua kementerian, jabatan dan agensi bagi menawarkan tanah yang belum dibangunkan untuk dimanfaatkan bagi program penanaman bawang.
“Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kadar kebergantungan terhadap import bawang sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa turut menetapkan polisi mengenai penghasilan dan penjualan daging kultur dan hasil daging kultur serta cell-based food di Malaysia agar tidak membenarkan penghasilan tersebut sehingga penetapan standard peringkat antarabangsa dimuktamadkan.
Turut dibincangkan katanya, adalah cadangan transformasi perubahan struktur ke atas sektor padi dan beras negara antaranya seperti pembukaan agihan baja berpusat, penggantian subsidi input kepada subsidi output, penggemblengan data serta penggunaan teknologi digital.
“Cadangan berkenaan akan diteliti mengambil kira input semua pemegang taruh sebelum insiatif ini dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, satu Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (GPP KiTa) akan dibangunkan sebagai instrumen pemudah cara dan menyokong ekosistem industri tanaman makanan, khususnya melalui kaedah tanaman Kilang Tanaman.
Katanya, jawatankuasa juga memperhalusi untuk memperkasa sektor pertanian dan memangkin transformasi digital melalui inisiatif Malaysia Digital (MD) AgTech.
“Turut diperhalusi adalah peluang meneroka teknologi nuklear di bawah Agensi Nuklear Malaysia yang boleh menyumbang kepada keselamatan dan keterjaminan makanan negara seperti teknik isotop stabil bagi penjejakan dan ketulenan makanan, teknologi penyinaran makanan, teknik penyurih untuk kelestarian tanaman makanan, biak baka mutasi sinaran untuk penghasilan varieti baru tanaman makanan dan teknik pensterilan serangga (SIT),” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bagi mendepani situasi itu, pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat (WoGoS) amat penting bagi memantapkan aspek keterjaminan makanan dalam berhadapan dengan persekitaran yang sentiasa berubah, tidak menentu, rumit dan samar (VUCA) demi kelangsungan keterjaminan makanan negara.
“Justeru, saranan konstruktif yang diketengahkan dalam mesyuarat ini akan ditambahbaik sebelum diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara kelak.
“Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tahap keterjaminan makanan negara stabil dan mampan seiring dengan konsep Food Security is a Shared Responsibility (keterjaminan makanan adalah tanggungjawab bersama),” katanya. –UTUSAN






