BALIK PULAU : Seorang lelaki yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) melecur pada anggota badan selepas terkena simbahan cecair dipercayai sejenis asid oleh seorang wanita, pagi tadi.
Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mereka berada di dalam sebuah lif di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas dekat sini, kira-kira pukul 9.24 pagi.
Akibat kejadian tersebut, mangsa yang juga penghidap Sindrom Down terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan menaiki ambulans.
Difahamkan, susulan kejadian itu juga, ada dalam kalangan ahli keluarga mangsa yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Lepas pada pukul 4.40 petang tadi.
Dalam pada itu, seorang penduduk setempat yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 56, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh seorang jirannya kira-kira pukul 12 tengah hari tadi selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian terbabit tular.
“Saya tinggal di sini sudah lebih setahun dan langsung tidak pernah berselisih atau ternampak wanita (suspek) tersebut di flat (pangsapuri) ini. Cuma mangsa memang diketahui kerap naik dan turun lif itu.
“Ada kemungkinan juga suspek tinggal di blok sebelah sebab ada jiran beritahu bahawa wanita tersebut sering membuat kacau dan mengganggu jiran tetangga yang lain,” katanya ketika ditemui di sini.
Dalam rakaman yang tular itu, wanita terbabit yang tidak diketahui identitinya dilihat menyimbah cecair berwarna putih dalam bekas minuman ke aras mangsa sebaik dia memasuki ke lif berkenaan.
Difahamkan juga, satu kenyataan lanjut berhubung insiden terbabit akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam masa terdekat.-UTUSAN






