PUTRAJAYA: Operasi Khas Pagar Laut dikendalikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang akan berakhir esok berjaya melakukan 175 tangkapan sejak ia dilancarkan pada Mac lalu membabitkan rampasan bernilai RM15 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudddin Nasution Ismail berkata, tangkapan itu kebanyakannya dibuat sepanjang bulan Ramadan dan awal Syawal lalu.
Beliau berkata, ia satu kejayaan penting buat Maritim Malaysia biarpun terpaksa mengorbankan cuti Aidilfitri demi keselamatan perairan negara.
“Tangkapan yang dilakukan itu membabitkan pelbagai kesalahan seperti pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan masuk dan keluar barangan kontraban selain barang subsidi,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Maritim Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, beliau sempat meninjau operasi di Selat Melaka pada Ramadan lalu dan merakamkan penghargaan di atas komitmen cemerlang dipamerkan setiap peringkat keanggotaan Maritim Malaysia.
Operasi khas ini dijalankan dalam empat fasa di mana Fasa I merupakan fasa persediaan bagi pengumpulan maklumat dan siap siaga aset iaitu bermula pada 12 Mac hingga 17 Mac, diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan bermula 18 Mac hingga 1 April.
Seterusnya Fasa III yang merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan bermula 2 April hingga 16 April dan Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan bermula 17 April hingga 30 April.
Kesemua kes tangkapan membabitkan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Padi Beras.
Fasa akhir Operasi Khas Pagar Laut diteruskan 17 April sehingga 30 April dengan mengukuhkan kawalan keselamatan di laut terutamanya di setiap titik panas seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri. – UTUSAN






