SUBANG: Penerimaan helikopter Medium Lift jenis AW189 mampu meningkatkan keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi penguatkuasaan serta mencari dan menyelamat (Carilamat) di perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penerimaan helikopter pertama daripada empat aset udara baharu mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara.
Menurutnya, perolehan empat helikopter itu diluluskan menerusi Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kontrak selama lima tahun bermula 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029 dengan kontrak bernilai RM529 juta.
“Peningkatan keupayaan aset itu akan memberi manfaat kepada nelayan, komuniti maritim, industri perkapalan, sektor pelancongan serta semua pengguna perairan negara.
“Manfaat itu termasuk peningkatan tahap keselamatan serta keupayaan tindak balas terhadap kecemasan di laut,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, helikopter ini dapat meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam penguatkuasaan, pengawasan udara, Carilamat, pemindahan perubatan (MEDEVAC) serta operasi khas.
“Helikopter AW189 ini mempunyai jarak operasi sehingga 1,166 kilometer, kelajuan maksimum 313 kilometer sejam dan endurance sehingga lima jam serta mampu beroperasi siang dan malam dalam pelbagai keadaan cuaca,” katanya.
Beliau berkata, helikopter itu akan dikendalikan lima kru dan mampu membawa sehingga 14 penumpang.
Katanya, keupayaan tersebut membolehkan Maritim Malaysia melaksanakan tindak balas lebih pantas dan fleksibel, khususnya bagi operasi di kawasan perairan yang jauh dari pesisir.
“Penerimaan AW189 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memodenkan dan memperkukuh aset udara Maritim Malaysia agar kekal relevan dengan tuntutan operasi semasa,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh keupayaan agensi penguat kuasa melalui pemodenan aset, penggunaan teknologi, peningkatan kompetensi modal insan serta kerjasama strategik.
“Dengan aset moden, anggota yang kompeten dan teknologi yang dimanfaatkan sepenuhnya, Maritim Malaysia akan terus menjadi benteng hadapan negara dalam menjaga keselamatan maritim dan kedaulatan Malaysia,” katanya. – UTUSAN






