GEORGE TOWN : Tidak ada sebarang isu atau masalah berkaitan bekalan air yang dihadapi oleh pengguna di Pulau Pinang meskipun berlaku penurunan paras air di Sungai Muda, Kedah pada ketika ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun, pihak berkuasa air di negeri itu sentiasa memantau rapi paras air di Sungai Muda yang kini mencatatkan penurunan kerana faktor kemarau.
“Sungai Muda dikawal oleh dua empangan. Jadi, saya percaya pihak yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa bekalan air adalah mencukupi untuk tujuan pertanian dan rawatan air.
“Memang ada turun naik (paras air di Sungai Muda) ketika ini. Jadi, kita akan terus memantau (perkembangan semasa),” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Majalah inPenang ke-100 di sini, hari ini.

Semalam, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) memaklumkan bahawa paras air Sungai Muda, yang melibatkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani dan Pinang Tunggal menunjukkan trend menurun hingga mengundang risiko berlakunya gangguan bekalan air terhadap pengguna di daerah Kuala Muda.
Menurut SADA, penurunan paras air Sungai Muda itu adalah disebabkan oleh masalah kemarau yang berpanjangan hingga mengakibatkan berlakunya pengurangan air mentah.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, setakat ini, pam-pam air yang dipasang di Sungai Muda bagaimanapun masih dapat mengekstrak air dari sungai berkenaan meskipun paras air telah menurun.
“Ini berlaku kerana paras pam yang dipasang amat dalam. Jadi, kalau paras air jatuh pun, ia masih mencukupi untuk kita (di Pulau Pinang) mengepam air Sungai Muda. Itu bezanya mengapa kita masih tidak terjejas dari segi ini.
“Kita juga pernah syorkan kepada (SADA) untuk elakkan masalah ini, mereka perlu ubah paras pam supaya apabila paras air rendah sekalipun, ia masih dapat diekstrak air untuk rawatan.
“Dalam hal ini, sepatutnya paras air di hulu Sungai Muda (dipasang) lebih tinggi daripada di hilir (Pulau Pinang). Sebab utamanya adalah, paras pam dipasang tidak cukup dalam ke sungai,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pengguna air di Pulau Pinang perlu bimbang dengan situasi air di Sungai Muda, Kon Yeow berkata, setakat ini, pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) masih dapat mengekstrak air dari sungai tersebut.
“Saya tidak mahu kata tidak perlu risau langsung kerana air adalah satu komoditi bernilai. Tiada air, tiada nyawa,” katanya.-UTUSAN






