KEPALA BATAS : Matlamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mahu mencapai sifar kemiskinan tegar menjelang 1 Jun tahun ini boleh direalisasikan menerusi penglibatan antara agensi kerajaan serta komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bagaimanapun, kewujudan golongan miskin itu sama ada secara individu mahupun berkeluarga dalam kesusahan itu sebenarnya sukar dijangka.
“Sememangnya soal kewujudan orang dalam kesusahan ini realiti sebab kita tak boleh jangka, mungkin tahun lepas mereka berada dalam keadaan senang tetapi sebaliknya pula berlaku pada tahun ini.
“Ada antaranya diuji dengan kehilangan pekerjaan, kelewatan gaji dan ada juga ketua keluarga yang meninggal dunia menyebabkan keluarga hilang mata pencarian.
“Justeru, bantuan perlu diteruskan dan ia tidak akan terhenti kerana ini soal tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak sekali gus membantu memastikan sifar kemiskinan dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 400 anak yatim dan asnaf menerusi Majlis Kasih Ramadan, Ceria Aidilfitri Peringkat Kepala Batas, di Kompleks Sukan MBSP di sini, hari ini.
Reezal Merican yang juga bekas Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang berkata, program itu antara usaha yang dijalankan bagi menyokong matlamat kerajaan negeri sekali gus memastikan tiada individu yang keciciran daripada menerima bantuan yang diperlukan.
“Usaha pembasmian kemiskinan secara menyeluruh memerlukan sokongan, komitmen dan penyertaan yang aktif daripada kalangan masyarakat setempat.
“Saya bersyukur kerana sikap peduli dan cakna dalam kalangan penduduk Kepala Batas amat tinggi, dan bantuan seumpama ini akan diteruskan bagi meringankan beban sempena perayaan Syawal yang bakal menjelang,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dalam lawatan kerjanya ke negeri ini optimis Pulau Pinang bakal mencatatkan rekod sifar kemiskinan tegar pada Jun depan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Kata Anwar, menjadi keutamaan kerajaan untuk membasmi masalah miskin tegar dengan pelbagai langkah telah diambil membabitkan agensi kerajaan.-UTUSAN






