KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan KPN, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga bekas KPN, Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang.
Allahyarham Tun Mohammed Hanif adalah KPN Ke-4 dan pernah memegang jawatan itu selama 20 tahun iaitu dari 1974 sebelum bersara secara rasmi pada 16 Januari 1994.
Mohammed Hanif amat berjasa dan banyak terlibat dalam kebanyakan peristiwa penting negara seperti Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969) berkaitan insiden 13 Mei.
Antara peristiwa penting lain ialah beliau bersama-sama Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Persidangan Manila berhubung penubuhan MAPHILINDO pada 1963 dan juga merupakan antara wakil Kerajaan Malaysia dalam Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Hatyai, Thailand.
Allahyarham yang berusia 85 tahun meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor awal pagi tadi dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Selangor.
Semoga roh Allahyarham Tun Mohammed Hanif dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh.
Terdahulu, anaknya yang juga pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar mengesahkan bapanya meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi.- UTUSAN






