KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengajak semua wakil rakyat yang pernah menghidap kanser untuk berkongsi pengalaman mereka untuk sembuh bagi memberi semangat dan aspirasi kepada pesakit lain.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, negara kini membelanjakan hampir RM1.3 hingga RM2 bilion setahun untuk menampung kos rawatan penyakit kanser.
Sehubungan itu, menurutnya, kerajaan sedang melakukan kajian terhadap rawatan-rawatan yang dicadangkan oleh semua pihak termasuk memangil wakil-wakil rakyat yang pernah menghidap kanser untuk memberikan harapan kepada pesakit lain.
“Terdapat rawatan-rawatan alternatif yang dicadangkan dan dilakukan kajian oleh KKM, adakah bersesuaian untuk diguna pakai (untuk merawat penyakit kanser)?
“Dalam kalangan wakil-wakil rakyat di Parlimen (Dewan Rakyat), Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri, kita mempunyai wakil-wakil rakyat pernah mendapat kanser dan survive (sembuh). Kami mengajak mereka tampil ke hadapan untuk kongsikan pengalaman supaya dapat memberikan semangat kepada pejuang-pejuang kanser,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang bertanya sama ada KKM mengumpul data bekas pesakit kanser termasuk daripada rawatan diambil dan bagaimana mereka sembuh untuk mencari kaedah terbaik merawat penyakit tersebut.
Pada masa sama, Lukanisman Awang berkata, KKM turut memberi tumpuan terhadap saringan-saringan kanser terutama sekali golongan B40.
“Kita ingin pastikan produktiviti kerajaan (dan) negara dapat (mencapai) pada tahap optimum dalam kalangan B40.
“Mereka keluar membuat saringan dan kita (akan) dapat tahu apakah kanser yang mereka hadapi,” jelasnya. – UTUSAN






