GEORGE TOWN : Sepuluh warga asing yang bekerja sebagai kru nelayan tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung di sini, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Razali Kasim berkata, warga asing yang terdiri daripada seorang warga India serta sembilan warga Myanmar yang berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.00 petang.
Katanya, selain APMM, operasi yang dilaksanakan dengan kekuatan kira-kira 80 penguatkuasa secara keseluruhan itu turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Marin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perikanan (DoF).
“Daripada jumlah sepuluh tangkapan itu, masing-masing seorang warga India dan seorang warga Myanmar telah ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah jenis syabu manakala selebihnya dikesan bekerja di negara ini tanpa permit sah.
“Kita menerima aduan daripada orang awam berhubung kehadiran warga asing yang bekerja di sini. Maka, satu mesyuarat khas telah dilaksanakan pagi tadi bagi memastikan kelancaran operasi,” katanya kepada pemberita di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Razali berkata, penggunaan aset baharu iaitu kenderaan Mobile Surveillance Unit (MSU) atau Unit Pengawasan Bergerak menjadi antara faktor penyumbang kejayaan operasi terbabit.
“Untuk pengetahuan, MSU ini adalah sebuah kenderaan yang bukan sahaja berfungsi meningkatkan operasi mencari dan menyelamat di laut, malah, ia menjadi radar untuk mengesan aktiviti keluar masuk bot di perairan ini.
“Ia amat membantu dalam mengesan pergerakan dan aktiviti yang mencurigakan sekali gus dapat mematahkan aktiviti penyeludupan atau pencerobohan di kawasan perairan kita.
“Justeru, kita akan memperhebatkan operasi dari masa ke semasa terutamanya di kawasan titik panas bagi memperkukuhkan kawalan perairan negara,” katanya.-UTUSAN






