KUALA SELANGOR: Tindakan dua nelayan warga asing mengendalikan bot secara haram mengundang padah apabila dicekup pihak berkuasa dalam dua operasi di perairan daerah ini, semalam.
Kedua-dua lelaki warga Kemboja dan Vietnam berusia 28 serta 31 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor ketika menaiki dua bot fiber berasingan.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan pertama dilakukan pada kedudukan 1.4 batu nautika barat daya Bagan Sungai Burong, kira-kira pukul 3.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan mendapati bot itu tiada nombor pendaftaran dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.
“Tangkapan kedua pula dilakukan pada kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Pantai Remis pukul 12.43 tengah hari sama.
“Lelaki itu didapati memiliki dokumen pengenalan diri namun tiada permit kerja atau surat kebenaran untuk bekerja di atas bot berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Abdul Muhaimin, kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.
“Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.
“Dua suspek bersama bot dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN




