GEORGE TOWN : Cadangan mengembalikan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip Kerajaan Pusat dan diagihkan kepada negeri akan dibawa ke mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri, Julai ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau akan membawa cadangan itu ke mesyuarat berkenaan sekiranya perkara tersebut turut dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang.
“Perkara ini perlulah mendapat persetujuan daripada semua. Jadi, saya akan bawa perkara ini kepada MMK untuk dibincang.
“Sekiranya dipersetujui, perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri, Julai ini. Kita mahu lihat adanya perubahan dari segi perkongsian hasil dengan Kerajaan Pusat,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Chow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung usaha kerajaan negeri untuk menuntut semula cukai yang dikutip selepas sumbangan negeri dalam pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan negara sebanyak RM71.9 pada 2023.
Semalam, Chow mencadangkan Kerajaan Pusat mengkaji semula sistem agihan cukai kepada negeri dengan memulangkan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang ukepada negeri itu semula.
Katanya, sekiranya Kerajaan Pusat memulangkan semula hasil cukai dengan kadar yang dipohon itu, setiap tahun Pulau Pinang akan memperoleh sekurang-kurangnya RM1 billion hasil cukai dan ia boleh membantu merancakkan pembangunan negeri itu.
Mengulas lanjut, beliau faham kekangan kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Pusat terutama ini di mana hutang negara yang besar.
“Saya tidak tahu sama ada cadangan saya ini akan dipandang serius atau tidak atau saya akan di ‘blacklist’ (senaraihitamkan),” katanya.
Beliau berkata, terdapat dua cara yang boleh dilaksanakan sekiranya sistem agihan cukai itu mahu diubah iaitu ia perlu dilakukan menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan selain membuat perubahan polisi di peringkat kerajaan Pusat.
“Untuk membolehkan negeri-negeri berkongsi hasil dengan Pusat, maka, Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda dan lakukan juga perubahan polisi berkaitan sistem agihan cukai ini di pihak Kerajaan Pusat.
“Namun demikian, perkara ini perlulah mendapat persetujuan semua negeri sebelum ia dapat dilakukan,” katanya.-UTUSAN






