BUKIT MERTAJAM : “Alhamdulillah, bagi saya, Faisal (Abdul Halim) kuat. Dia ‘kebal’, insya-Allah kerana dia boleh terima dirinya ketika ini. Mungkin dalam sehari dua lagi saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk bersama dia di sana.”
Itu kata Abdul Halim Saad, 60, bapa kepada penyerang kebangsaan itu yang kini masih menerima rawatan di hospital selepas menjalani dua pembedahan gara-gara menjadi mangsa simbahan asid.
Halim berkata, dia mewakili keluarga berterima kasih kepada semua pihak termasuk peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan dan semangat kepada mereka sekeluarga selepas insiden berkenaan.
“Kami terima qada’ dan qadar ini dan kami reda dengan apa yang telah berlaku. Saya berbangga dengan pasukan (bola sepak) kita, dengan anggota keselamatan kita. Mereka juga bagi sokongan dan buat siasatan. Itu amat baik.
“Kita serah kepada pihak berkuasalah untuk uruskan (kes simbah asid),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat untuk Faisal Halim di Dewan Homestay Mengkuang Titi di sini, malam ini.

Lebih 100 orang menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim iaitu kelab yang ditubuhkan oleh Faisal sendiri untuk menggilap bakat muda dalam sukan berkenaan di kawasan itu.
Mengulas lanjut, Abdul Halim memberitahu, dia dan ahli keluarga yang lain belum memutuskan untuk membawa Faisal yang juga anak keempat daripada lima beradik itu pulang mendapatkan rawatan lanjut di Pulau Pinang atau di mana-mana lokasi lain.
“Kita tengok dulu keadaan atau situasi semasa dia macam mana. Sekiranya ada lagi yang pihak perubatan sana perlu buat, mereka boleh teruskan sahaja.
“Dan kalau semuanya dah selesai nanti, kita tengok sama ada mungkin kita akan bawa dia balik berehat di sini atau bagaimana,” katanya.
Faisal, 26 atau mesra disapa sebagai ‘Mickey’ sebelum ini mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan selepas diserang individu tidak dikenali menggunakan asid ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di ibu kota, Ahad lalu.
Ketika ini, Faisal yang menyarung jersi Selangor dilaporkan telah selesai menjalani dua pembedahan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.-UTUSAN





