BUKIT MERTAJAM : Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan selepas suspek bertindak melarikan sebuah kenderaan di sekitar Megamall Pinang hingga ke Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok, di sini, 15 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu, anggota skuad kereta peronda polis (MPV) dari Balai Polis Bukit Mertajam telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu.
Katanya, sebuah kereta iaitu jenis Datsun 120Y telah dicuri oleh suspek tersebut yang berusia lewat 20-an kira-kira pukul 10.15 pagi.
Katanya, anggota MPV tersebut kemudiannya berjaya mengesan kenderaan terbabit di kawasan Taman Bandaraya, Jalan Kulim di sini.
“Semasa dihampiri oleh anggota polis, suspek bagaimanapun bertindak memecut kenderaan yang dipandunya. Susulan itu, anggota berkenaan telah bertindak mengejar dan mengarahkan supaya kenderaan tersebut diberhentikan.
“Suspek enggan berbuat demikian sebelum dia akhirnya berjaya ditahan bersama kenderaan yang dicurinya itu di Jalan Sungai Lembu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Helmi berkata, MPV yang dinaiki oleh anggota polis terbabit turut mengalami sedikit kerosakan di bahagian hadapan akibat perlanggaran dengan kereta curi yang dipandu oleh suspek.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek bukan sahaja berada dalam senarai dikehendaki, malah, turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau serta lima kes dadah,” katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular dua rakaman video masing-masing berdurasi lebih dua minit dan 17 saat memaparkan seorang lelaki yang dipercayai mencuri sebuah kereta ditahan dan dikerumuni oleh orang awam di Jalan Sungai Lembu di sini.-UTUSAN






