MELAKA: Kumpulan jenayah dikenali sebagai ‘Geng Harraz’ yang aktif mencuri kenderaan, pecah rumah dan samun sekitar negeri ini berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat lelaki di Permatang Pasir Alai di sini, pada 19 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 24 hingga 32 tahun itu ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan kecurian sebuah motosikal diterima sebelum tangkapan.
Katanya, semua suspek merupakan penganggur dan mempunyai rekod jenayah lampau.
“Ia membabitkan kes curi kenderaan, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah. Ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.
Christopher berkata, kumpulan itu aktif sejak awal tahun ini dan dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 12 kes jenayah.
“Antara kes yang dikenal pasti termasuk tujuh kes curi motosikal, satu cubaan curi motosikal, satu kes curi van, satu kes samun, satu kes curi kereta serta dua kes pecah rumah di beberapa lokasi termasuk Kandang, Bemban, Banda Hilir dan Tanjung Minyak,” katanya.
Katanya, kumpulan itu menjadikan motosikal Yamaha 125ZR dan Honda EX5 sebagai sasaran utama, sebelum dileraikan manakala komponennya dijual kepada pihak ketiga.
“Polis turut merampas enam motosikal pelbagai jenis, sebuah van Nissan Vanette, peralatan khas untuk mencuri kenderaan serta beberapa barangan lain.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 397A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Christopher berkata, kesemua suspek direman sehingga esok (26 Mac) bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai bertindak sebagai pembeli atau rangkaian sokongan kepada kumpulan ini,” katanya. – UTUSAN





