PETALING JAYA: Pelaburan Google dijangka membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar AS$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dan mewujudkan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan berkaitan pusat data yang pertama bagi Google di Malaysia dan pembangunan rantau Google Cloud itu membuktikan bahawa perancangan jelas kerajaan di samping kekuatan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur sedia ada serta baharu.
Katanya, perkembangan itu meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital.
“Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Google menyatakan komitmen melabur AS$2 bilion bagi mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam kenyataan memaklumkan, wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik Kecerdasan Buatan (AI) untuk pelajar serta pendidik Malaysia.
Anwar yang menyambut baik pengumuman pelaburan asing itu berkata, beliau dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei lalu telah menekankan bahawa kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam pendidikan, kesihatan dan pertanian selain dukungan kepada penggunaan AI secara umum.
“Ini penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini,” katanya.
Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 billion pada tahun lepas, meningkat 23 peratus berbanding tahun 2022 sekali gus menyaksikan jumlah itu adalah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara.
Pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus, manakala prestasi cemerlang itu juga disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing. – UTUSAN






