PETALING JAYA : Pemeriksaan berkala terhadap pokok berisiko oleh kontraktor lantikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kali terakhir dibuat pada Februari lalu, iaitu sebelum kejadian pokok berusia 50 tahun tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lalu.
Pihak berkuasa tempatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 175 pokok berisiko tinggi berusia lebih 50 tahun dikenal pasti dan 147 daripadanya sudah ditebang.
“Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh arboris bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari 2024, yang mana 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” katanya
Menurut DBKL, penilaian risiko pokok mempunyai tiga tahap dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak dan jika keadaan fizikal pokok tidak memuaskan, penilaian lanjut dilakukan.
“Seterusnya, tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan diambil sepertimana yang terkandung dalam Pelan Pengurusan Pokok Rendang DBKL yang diterbitkan pada 2019,” katanya.
DBKL berkata, pelan berkenaan dibuat dengan beberapa agensi terlibat termasuk Jabatan Landskap Negara; Persatuan Arborist Malaysia; Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM); Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM); Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia; Universiti Putra Malaysia; Universiti Teknologi Malaysia; dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Bagaimanapun, menurut PBT itu. pihaknya sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang itu dan menyediakan garis panduan baharu dengan memfokuskan kepada pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka akan siap pada Julai.
“Kerja-kerja pemantauan dijalankan secara berterusan terhadap pokok-pokok berisiko dengan mengambil kira soal keselamatan termasuk aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Selasa lalu, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel susulan hujan lebat serta angin kuat di ibu kota. – UTUSAN





