PETALING JAYA: Sebanyak RM28.6 juta rampasan direkodkan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi kes jenayah hidupan liar dan pencerobohan hutan sejak tahun lalu.
Statistik kejayaan setakat April lalu itu membabitkan kerjasama antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, pada tahun lalu, sebanyak 75 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM15.6 juta manakala sejumlah 81 kes dengan nilai mencecah RM13 juta dicatatkan tahun ini setakat April lalu.
“Sepanjang tempoh terbabit, 41 kes dengan rampasan bernilai RM8.17 juta direkodkan JKDM. Jabatan Perhilitan mencatatkan 60 kes membabitkan rampasan berjumlah RM8.76 juta manakala PDRM dengan 55 kes (RM11.7 juta),” katanya di sini.
Anis Rizana berkata, semua kes terbabit melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Senjata 1960.
Katanya, pelaksanaan OBK adalah bagi meningkatkan keberkesanan dalam aspek penguatkuasaan dan membanteras sebarang bentuk jenayah flora dan fauna yang meliputi pencerobohan hutan, pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar sert pengambilan sumber biodiversiti secara haram di seluruh negara.
Menurut beliau, perdagangan hidupan liar kini berada di kedudukan keempat antara jenayah-jenayah global yang lain.
“Ia menjadi jenayah yang mampu menjana keuntungan lumayan. Polis Antarabangsa (Interpol)
menganggarkan aktiviti penyeludupan hidupan liar menjana pendapatan sebanyak AS20 bilion setahun.
“Jadi, budaya kerja secara berpasukan harus diberi penekanan dengan menitikberatkan
elemen cara kerja cross-functional dan menolak budaya kerja silo,” ujarnya.
Jelasnya, kolaborasi jitu antara jabatan dalam hal-hal berkaitan perkongsian maklumat dan kepakaran akan membuka pintu untuk jalinan kerjasama jangka panjang yang lebih berkesan dan bermakna.
Beliau sebelum itu tmempengerusikan Mesyuarat OBK bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Mesyuarat terbabit turut melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hidupan Liar Sabah, Perbadanan Taman Negara Johor, Perbadanan Taman Negeri Perak, Perbadanan Taman Negeri Pahang serta pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UTUSAN






