GEORGE TOWN : Empat individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung mesej kontroversi seperti mempersendakan Islam pada resit yang dimasukkan oleh seorang pelanggan di sebuah premis perniagaan menjual piza di Bayan Lepas, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek yang juga warga Mynmar itu berusia antara 19 hingga 67 tahun dan masing-masing mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka ditahan pada 16 Mei lalu di sebuah pondok dalam dusun durian di Jalan Sungai Ara di sini.
“Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan ia (siasatan) melibatkan pelbagai sudut kerana menyentuh isu yang sensitif,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai resit dengan kenyataan menyentuh isu sensitif berkaitan agama di ruangan ‘remark’ oleh seorang individu yang memesan makanan berkenaan.
Menurut Hamzah, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
“Tiga daripada suspek iaitu dua lelaki serta seorang wanita direman sehingga 3 Jun depan, manakala seorang lagi suspek iaitu lelaki warga emas berumur 67 tahun direman sehingga 20 Mei lalu.
“Dia (lelaki warga emas) bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis ketika ini,” katanya.-UTUSAN






