BALIK PULAU : Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai satu mesej kontroversi seperti mempersendakan Islam pada resit yang dimasukkan oleh seorang pelanggan di sebuah premis perniagaan menjual piza di Bayan Lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, laporan mengenai kes itu diterima kira-kira pukul 8.46 malam tadi.
“Siasatan mendapati, memang terdapat satu pesanan yang diterima semalam di aplikasi premis tersebut yang mempunyai perkataan menghina di bahagian ‘remark’ atau nota pesanannya.
“Bagaimanapun, polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Sejak malam tadi, tular di media sosial mengenai resit dengan kenyataan menyentuh isu sensitif berkaitan agama di ruangan ‘remark’ oleh seorang individu yang memesan makanan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz memberitahu, dia telah berjumpa wakil pengurusan di wilayah utara dan penyelia cawangan itu semalam berikutan isu tersebut.
“Ramai yang salah faham seperti saya juga pada awalnya kerana menyangka resit berkenaan dikeluarkan oleh juruwang.
“Sebenarnya, resit yang diviralkan itu adalah resit ‘order’ (tempahan) secara ‘online’ (dalam talian) dan ada ruangan ‘remark’ yang disalahgunakan oleh ‘pemprovokasi’ tersebut,” katanya.
Tambah Azrul, pihaknya berharap dalang di sebalik provokasi membabitkan 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja itu ditangkap segera.
“Pihak polis telah pun membuka kertas siasatan dan saya minta masyarakat kekal tenang dan tidak termakan dengan provokasi ini. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk selesaikan,” katanya.-UTUSAN






