PETALING JAYA: Sebanyak 4,612 unit kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibaik pulih menerusi 465 projek membabitkan dana bernilai RM 112.6 juta.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kerja naik taraf turut meliputi pembaikan saluran paip, pendawaian dan meluaskan unit rumah bagi keselesaan penghuni kuarters.
Menurut beliau, projek yang dilaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dijalankan menggunakan peruntukan yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2023 bagi menaik taraf fasiliti dan kemudahan milik PDRM.
“Sejumlah RM14.4 juta peruntukan dimanfaatkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian 286 unit kuarters lama PDRM berkeluasan di bawah 700 kaki persegi (65 meter persegi (m²)).
“Sebanyak 286 kuarters dua bilik berkenaan diubah suai kepada 143 unit kuarters berkeluasan 1,200 kaki persegi (111.48 m²) yang mempunyai tiga ke empat bilik,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Jun 2024 di sini hari ini.
Kata beliau, pengubahsuaian yang menjadikan dua unit rumah sebagai satu diharap dapat memberikan keselesaan kepada penghuni kuarters yang kini memiliki ruang yang lebih besar.
Katanya, peruntukan turut disalurkan bagi menambah baik infrastruktur balai-balai, pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai sebahagian permulaan kepada kerangka pembangunan di bawah Malaysia Madani.
“Komitmen ini diteruskan dengan pengukuhan peruntukan pada tahun ini berjumlah RM11.656 bilion, pertambahan sebanyak RM661.59 juta iaitu peningkatan 6.02 peratus berbanding peruntukan tahun 2023.- UTUSAN






