KUALA LUMPUR: Kecerdasan Buatan (AI) mampu meningkatkan inovasi dan daya saing Malaysia di persada dunia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, AI sedang merevolusikan industri, meningkatkan kecekapan, dan menyelesaikan masalah kompleks.
Beliau berkata, penerimaan AI adalah penting bagi Malaysia untuk daya saing di peringkat global bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi.
“Selain manfaat segera kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerjasama ini akan meningkatkan keupayaan negara dalam pembangunan litar bersepadu dan reka bentuk sistem,” katanya merasmikan Seminar MIMOS-PHISON ‘Empowering Communities With AI: Unlocking Potential Through Technology’ di sini, hari ini.
Baru-baru ini, MIMOS dan Phison telah menandatangani memorandum kerjasama dan menyasarkan untuk melaksanakan latihan berdasarkan kepada model AI di Malaysia bagi memenuhi keperluan aplikasi AI yang selamat serta meningkatkan daya saing, terutamanya PKS Malaysia.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, kerjasama itu akan mencipta peluang besar kepada rakyat Malaysia dalam pemindahan teknologi serta meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam AI.
Katanya, ia akan memudahkan latihan lanjutan serta memberikan pengalaman praktikal selain dapat membekalkan tenaga kerja yang diperlukan seiring dengan keupayaan diperlukan berdasarkan kepada landskap AI yang pantas berkembang.
“Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited dalam menyokong inisiatif AI ini dengan memastikan infrastruktur, dasar dan insentif yang diperlukan dalam mempromosi pembangunan dan penerimaan AI,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Dr. Saat Shukri Embong menekankan bahawa matlamat seminar itu untuk berkongsi inovasi AI, menggalakkan kerjasama dan mewujudkan peluang rangkaian.
“Seminar ini menyediakan platform untuk berinteraksi, membolehkan peserta bertukar idea, menjalin kerjasama, dan meneroka peluang baharu. Kami menjangkakan 200 peserta yang menunjukkan minat tinggi terhadap kepentingan AI merentas pelbagai sektor,” katanya. – UTUSAN






