PETALING JAYA: Sebarang keputusan termasuk perincian lokasi dan jumlah loji tenaga nuklear yang akan dibangunkan negara hanya akan dimuktamadkan selepas tahun 2030.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kerajaan masih berada dalam fasa awal meneroka kemungkinan menggunakan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber penjanaan elektrik negara.
Menurutnya, pihak kementerian juga memberi peranan kepada sebuah jawatankuasa bersama yang diketuai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air melibatkan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan bakat serta regulatori bagi tujuan tersebut.
“Setakat ini, kita hanya meneroka kemungkinan. Tiada keputusan lagi sama ada negara akan membina sebuah loji bagi setiap negeri atau tidak.
“Kerajaan juga belum sampai ke fasa menentukan tapak lokasi kerana kajian awal perlu diselesaikan sebelum sebarang proses dapat dimulakan,” katanya kepada pemberita dalam Program Media Showcase bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ke Agensi Nuklear Malaysia di Bangi hari ini.
Mengulas persepsi orang ramai tentang pendedahan dan pelepasan nuklear, beliau berkata Malaysia sentiasa mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), termasuk pengurusan sisa dan tahap keselamatan operasi.
“Sektor ini sangat ketat kawal selianya. Kita mengikut piawaian IAEA dan ada kepakaran mengendalikan reaktor penyelidikan sejak 1982, jadi masyarakat tidak perlu bimbang berkenaan pembangunan loji tenaga nuklear” katanya.
Lih Kang berkata, pindaan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) turut memasukkan peruntukan berkaitan persediaan meneroka penggunaan tenaga nuklear pada masa depan.
“IAEA juga menghantar inspektor secara berkala untuk memeriksa fasiliti dan membantu kita membangunkan kepakaran,” katanya.
Tambahnya, kerajaan sentiasa mengambil insiden antarabangsa seperti kejadian pelepasan air terawat di Jepun sebagai pengajaran untuk penambahbaikan dasar dan keselamatan.
“Setiap insiden menjadi iktibar. Tetapi kita masih jauh lagi kerana kini baru berada di peringkat kajian,” katanya.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, kesedaran masyarakat terhadap peranan Agensi Nuklear Malaysia masih rendah dan program seumpamanya penting untuk memberi maklumat tepat kepada rakyat.
“Kita mahu masyarakat tahu negara mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang nuklear. Peranan media penting untuk menyampaikan maklumat yang betul,” katanya. – UTUSAN






