KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sebentar tadi menolak permohonan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Ia berikutan permohonan yang difailkan oleh Badan Peguam itu bukanlah sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah.
Keputusan itu sekali gus menggagalkan usaha badan itu untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskannya tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana milik Yayaysan Akalbudi.
Pada 4 September 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Pada 2 Disember 2023, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan, dibatalkan.- UTUSAN






