GEORGE TOWN : Tindakan pihak yang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah ibarat seperti cubaan untuk mencabul undang-undang negara.
Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Muhamad Danial Alimin berkata, GPMS amat kesal dengan tindakan kumpulan yang membantah pelaksanaan tersebut selaras dengan Akta Pendidikan 1996 Seksyen 17(1).
Katanya, ini kerana di dalam akta itu jelas memperuntukkan bahawa bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan serta bantuan kerajaan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.
“Dalam hal ini, GPMS Pulau Pinang berpendapat bahawa tindakan individu yang mempersoal penggunaan bahasa Melayu adalah seperti cubaan untuk mencabul undang-undang negara.
“Hal ini kerana jelas dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan hendaklah Bahasa Melayu dan ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang ditentukan melalui undang-undang oleh parlimen diguna pakai dalam semua urusan rasmi termasuk pendidikan di sekolah-sekolah.
“Dengan ini, adalah menjadi satu kewajipan kepada semua pihak untuk akur terhadap apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Mengulas lanjut, Muhamad Danial berkata, GPMS Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa secara asasnya, sekolah-sekolah di bawah seliaan kerajaan diwajibkan mengguna pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Kami berpendapat bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan merupakan salah satu elemen utama dalam membentuk identiti nasional,” katanya.
Tambah beliau, dari aspek undang-undang Malaysia, penggunaan bahasa Melayu di sekolah adalah satu kewajipan yang ditetapkan oleh Perlembagaan, akta-akta yang berkaitan serta dasar pendidikan negara.
“Menolak penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang ini tetapi juga menjejaskan usaha memupuk perpaduan dan identiti nasional,” ujar beliau.-UTUSAN






