PORT DICKSON: Golongan nelayan dan pengusaha ternakan kupang yang terjejas dengan pencemaran biotoksin berbahaya pada kupang di perairan daerah ini sejak 4 April lalu, dinasihat bersabar serta tetap mematuhi larangan untuk pengeluaran hasil laut itu dan dwicengkerang lain.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang, Md. Isa Johar berkata, apabila lebih dua bulan kejadian berlaku memang tidak dapat dinafikan sudah ada nelayan dan pengusaha kupang yang mula merungut.
“Buat masa ini kebenaran belum dikeluarkan dan nelayan serta pengusaha masih mengikut arahan untuk tidak mengeluarkan hasil kupang di sini.
“Memang ramai yang mula merungut dan bertanyakan sampai bila larangan ini kerana pendapatan mereka sudah terjejas, apa yang kami boleh jawab dan nyatakan kepada mereka bahawa masih tiada sebarang pengesahan dikeluarkan bahawa kupang di sini sudah selamat.
“Saya harap mereka tetap terus bersabar kerana perkara ini jarang berlaku. Pihak berwajib difahamkan masih terus memantau dan melakukan ujian makmal terhadap sampel kupang,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini semalam.
Pada 21 Mei lalu, kandungan biotoksin pada kupang di daerah ini hasil ujian makmal dilakukan telah mencatatkan bacaan 498 per bilion (ppb) iaitu di bawah 800 ppb iaitu had pengambilan selamat untuk manusia.
Susulan itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengarahkan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menjalankan satu lagi analisis identifikasi jenis plankton.
Menurutnya, analisis itu perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat bagi membenarkan pengambilan kupang diumumkan kepada masyarakat. Namun hampir satu bulan, tiada perkembangan lanjut mengenainya dan kebenaran pengambilan kupang belum dikeluarkan.
Md. Isa berkata, pihaknya menjangkakan keputusan kebenaran untuk pengeluaran hasil kupang mengambil masa susulan terdapat kes keracunan makanan dipercayai berkaitan pengambilan kupang turut dilaporkan berlaku di Melaka pada 8 Jun lalu. – UTUSAN



