KOTA KINABALU: Kecewa rintihan masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak berkesudahan, sekumpulan pelajar mewakili Suara Mahasiswa berarak sejauh lima kilometer dari UMS ke Menara Kinabalu, hari ini.
Perarakan yang bermula kira-kira pukul 2 petang itu diiringi dengan laungan ‘Kami datang, kami datang, kami datang untuk lawan. Mana air, mana air, mana air rakyat Sabah’.
Koordinator Sekretariat Perhimpunan #KamiMahuAir, Mohammad Norhamdin Nordin, 23, berkata, niat mereka datang berhimpun adalah untuk memberi memorandum kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Walaupun lama, biarpun bermalam, kami akan tunggu sehingga Ketua Menteri datang. Kami akan tunggu sehingga Ketua Menteri datang.
“Kami telah datang ke Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) untuk berbincang dan pada Khamis lepas, kami berjumpa dengan Datuk Shahelmey Yahya jadi, sekarang kita terus sahaja kepada Ketua Menteri,” katanya.
Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sosiologi & Antropologi UMS itu berkata, sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengambil tindakan ke atas mereka, sekretariat perhimpunan bersedia untuk beri kerjasama.
Namun, apa yang pasti perhimpunan pada hari ini adalah perhimpunan aman yang tidak melibatkan sebarang senjata.
“Kami percaya kami sedang merealisasikan demokrasi dan kami bergerak di bawah Perkara 10 Perlembagaan iaitu Perkara 10 hak berhimpun dan hak bersuara,” katanya.
Menurutnya, mereka mahu campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam membantu menyelesaikan masalah air di Sabah.
Di samping itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga diminta campur tangan untuk melakukan semak dan imbang dalam menyelesaikan isu air. – UTUSAN





