UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) berusaha menyebar luas pengetahuan berkaitan HIV dan AIDS serta meningkatkan kesedaran berkaitan penularan HIV serta cara-cara pencegahan berkesan.
Usaha menyebar luas tersebut diadakan melalui program Sambutah Hari AIDS 2024 Peringkat UMS yang dianjurkan oleh Jabatan Perubatan Keluarga Hospital UMS (HUMS) dengan tema Take the Rights Path: My Health, My Right! baru-baru ini.
Temanya ialah menekankan hak individu untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta maklumat yang tepat mengenai pencegahan HIV dan AIDS.
Tema ini mengingatkan bahawa setiap individu berhak untuk hidup tanpa diskriminasi dengan mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang sihat dan bebas stigma.
Melalui sambutan ini, kita memperkukuhkan komitmen bersama untuk membanteras HIV/AIDS dan memastikan semua individu, tanpa mengira latar belakang, diberi peluang yang sama dalam menjaga kesihatan mereka.
Statistik tahun 2023 Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa peratusan golongan tertinggi yang berisiko menghidap HIV adalah dalam kalangan pelajar universiti.
Oleh itu, program yang dianjurkan ini yang berteraskan pendidikan mengenai pencegahan dan kesedaran terhadap HIV adalah program yang perlu dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan warga UMS mempunyai kesedaran tinggi berkaitan HIV dan sekali gus membantu kerajaan dalam mengurangkan risiko penularan HIV dalam komuniti.
Penganjuran program sedemikian bukan hanya untuk menyebarkan maklumat mengenai pencegahan HIV, tetapi juga membentuk sikap yang lebih positif dan bertanggungjawab dalam kalangan warga UMS terhadap kesihatan diri dan orang lain. – UTUSAN
PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
Universiti Malaysia Sabah






