SHAH ALAM: Pemuda UMNO berikrar untuk menggempur Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi membantu calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang akan bertanding pada 17 Ogos ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Pemuda di seluruh negara digesa untuk turun ke kawasan berkenaan dan menunjukkan peluang kepada BN untuk memenangi kawasan tersebut.
Menurutnya, BN mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi DUN itu berdasarkan sejarah yang mana gabungan parti tersebut pernah menguasai kerusi berkenaan.
“Kita akan pastikan seluruh jentera Pemuda turun di Nenggiri, berkempen untuk Abe Mawi (Mohd. Azmawi Fikri).
“Beliau adalah orang tempatan, iaitu orang Gua Musang. Jadi, saya lihat kita ada peluang cerah untuk menang di situ,” katanya selepaskan merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Subang, hari ini.
Nexbyte semalam melaporkan, UMNO Kelantan mengumumkan Mohd. Azmawi Fikri sebagai calon BN untuk bertanding di DUN Nenggiri, berikutan keputusan DUN Kelantan yang mengosongkan kerusi tersebut.
Ia berikutan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengugurkan penyandangnya sebelum ini, Mohd. Azizi Abu Naim disebabkan tindakannya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka.
Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal menegaskan pengundi Nenggiri perlu mengundi Mohd. Azmawi Fikri untuk menjadi semak dan imbang dalam DUN Kelantan supaya negeri itu terus membangun.
“Ketika ini, hanya ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada dalam DUN Kelantan. Jadi, suara pembangkang tidak begitu kuat.
“Sekiranya Abe Mawi menang, suara pembangkang bertambah kuat walaupun Perikatan Nasional (PN) kekal utuh menerajui Kelantan,” ujarnya. – UTUSAN






