KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan seorang penceramah daripada tiga tuduhan amang seksual fizikal terhadap anak rakannya, dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu hari ini selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Badrulamin Bahron, 63, di akhir kes pendakwaan.
“Setelah menimbang keterangan semua saksi pendakwaan, hujahan bertulis dan meneliti eksibit yang dikemukakan, saya mendapati keterangan mangsa tiada kredibiliti.
“Keterangan mangsa juga tiada sokongan kukuh untuk mengaitkan tertuduh dalam kes ini selain percanggahan keterangan ibu mangsa yang tidak pernah diperbetulkan sehingga akhir kes pendakwaan.
“Justeru pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan kes secara prima facie. Saya memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” jelas beliau.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lima tahun sembilan bulan.
Badrulamin didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah rumah bot di Tasik Kenyir dalam daerah Hulu Terengganu pada sebelah pagi antara 4 sehingga 6 Mac 2022.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan di bawab Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Zulkifli C. Yong dan Azali Ibrahim.
Media pada April 2022 melaporkan seorang penceramah bebas ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak rakannya ketika program anjurannya di sebuah rumah bot di Tasik Kenyir.
Ketika program itu, mangsa dikatakan hanya ditemani bapa dan neneknya sebelum memberitahu kejadian itu kepada ibunya selepas pulang ke Rompin, Pahang dari Tasik Kenyir. – UTUSAN






