KUDAT: Cubaan menyeludup daging penyu dan balat kering yang merupakan haiwan dilindungi berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, daging penyu dan balat kering itu dipercayai dicampak oleh suspek sebelum bertindak melarikan diri ke kawasan cetek di pesisir Pantai Tanjung Kalutan pada Ahad.
Beliau berkata, semasa aset Maritim Malaysia menjalankan operasi di kawasan perairan itu, anggota Maritim telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, semasa anggota Maritim cuba menghampiri bot tersebut, suspek telah bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bagi mengelakkan daripada ditahan pihak penguat kuasa.
“Setibanya bot peronda Maritim Malaysia di lokasi, pihaknya telah menemukan 23 guni daging penyu kering dianggarkan seberat 160 kilogram serta 52 guni balat kering dengan anggaran berat 500 kilogram yang telah dicampak oleh suspek.
“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM200,000. Kesemua rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki cuba menyeludup spesis haiwan terlindung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes berasingan, Maurice berkata, pihaknya berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kerana melakukan beberapa jenis kesalahan di kedudukan 1.85 batu nautika tenggara Tagumamal Laut pada Sabtu.
Hasil pemeriksaan, anggota Zon Maritim Kudat telah menahan dua individu yang mengendalikan bot terbabit yang juga merupakan warga tempatan berumur 17 dan 27 tahun.
Kedua-dua suspek bersama bot serta hasil tangkapan telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak mempunyai lesen perikanan dan menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.
Beliau menasihatkan komuniti maritim di Kudat agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan selain turut membantu Maritim Malaysia melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – UTUSAN






