KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan dilepaskan tanpa membebaskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah daripada enam pertuduhan pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.
Terdahulu, peguam-peguam bela, Datuk Seri K. Kumaraendran dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee memohon sedemikian atas alasan pihak pendakwaan masih gagal menyerahkan ratusan dokumen penting berkaitan kes itu.
Mahkamah bagaimanapun menegaskan bahawa penangguhan kali ini merupakan yang kali terakhir.
Tarikh perbicaraan seterusnya ialah pada 14 November ini.
Kes itu sepatutnya mula dibicarakan pada September 2021 namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada dua kes iaitu kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.
Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya di antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. –UTUSAN





