SHAH ALAM: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang membunuh rakan sekolahnya berusia 16 tahun dekat sebuah sekolah menengah di Bandar Nexbyte diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Keputusan akhir peringkat pendakwaan itu ditetapkan oleh Hakim Adlin Abdul Majid pada prosiding hari ini selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap kes tersebut.
Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh juvana berusia 15 tahun tersebut.
Pada prosiding peringkat tersebut, seramai 11 saksi dipanggil termasuk yang terakhir, Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Ahmad Zarrin Abd. Rashid untuk memberi keterangan.
Sebelum itu, antara saksi-saksi lain yang dipanggil memberi keterangan iaitu tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa dan pakar patologi.
Prosiding tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin; Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu keputusan laporan psikiatri menunjukkan tertuduh layak untuk dibicarakan selain mendapati tertuduh berupaya memahami perkara yang berlaku dalam prosiding mahkamah.
Mengikut pertuduhan, remaja terbabit didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam tandas perempuan sekolah berkenaan antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Justeru, tertuduh yang tidak boleh didedahkan identitinya berikutan bawah umur itu dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.
Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.
Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Raja atau Yang di-Pertua bagi negeri.
Pada perbicaraan minggu lalu, Mahkamah Tinggi diberitahu mangsa dalam kejadian itu mengalami sekurang-kurangnya 180 kesan tikaman dan luka hirisan pada bahagian badan.
Pakar patologi forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Koo Zhao Peng, yang juga saksi pendakwaan pertama memberi keterangan mangsa turut mengalami kecederaan pada arteri karotid dan vena jugular, iaitu saluran darah utama. – UTUSAN





