PETALING JAYA: Malaysia kini berada di ambang perubahan signifikan dalam usaha memerangi amalan rasuah yang sekian lama membarah, hasil daripada keprihatinan mendalam Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terhadap isu berkenaan.
Baginda yang dikenali pemimpin berwibawa dilihat sejak awal lagi sudah memposisikan dirinya sebagai sosok yang mahu memperjuangkan keadilan, ketelusan dan integriti sepanjang perkhidmatan sebagai payung kepada rakyat Malaysia.
Keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap isu rasuah membuktikan baginda bukan saja mahu memerangi amalan tidak bertanggungjawab itu bahkan menjadi peneraju dalam mempromosikan nilai integriti, keadilan dan ketelusan.
Hal ini disebabkan, amalan rasuah adalah punca utama kepada ketidakadilan sosial dan ketidakteraturan ekonomi sekali gus mampu membawa negara ke tahap paling rendah dalam ketamadunan manusia.
Pengisytiharan Sultan Ibrahim memerangi rasuah mula dititahkan sebelum baginda memegang tampuk Ketua Negara apabila mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan kepada Istana Negara secara terus terhadap isu-isu membabitkan rasuah.
“Sejak zaman moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Beta akan pastikan apabila pergi memburu, beta bawa pulang hasil yang baik.
“Tetapi apabila beta di KL (Kuala Lumpur), hutan konkrit, jadi apa yang beta buru?
Beta akan buru semua orang yang korup, beta akan pastikan akan ada hasil,” titah Sultan Ibrahim ketika wawancara khasnya bersama The Straits Times Singapura pada Disember tahun lalu.
Baginda juga enggan hanya menjadi ‘rubber stamp’ dalam pentadbiran negara bahkan mahu memainkan peranan penting dalam menghapuskan rasuah yang merupakan suatu gejala tidak sihat.
Tidak terhenti di situ, selepas mengambil alih tampuk Ketua Negara pada Januari lalu, Sultan Ibrahim juga dilihat mengambil langkah proaktif dalam membuktikan titahnya apabila menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Istana Negara.
Baginda juga menitahkan SPRM menumpukan usaha memerangi rasuah habis-habisan dan mengisytiharkanamalan tidak bertanggungjawab itu adalah musuh nombor satu.
Agong dan politik
Sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu kerajaan baginda berfungsi dengan bebas tanpa sebarang campur tangan politik yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan rakyat akibat ketidaktentuan politik negara.
Kemelut politik mengakibatkan rakyat menanggung beban kerana berisiko mencetuskan kemelesetan ekonomi.
Justeru, ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 lalu, baginda bertitah tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk dan berhenti berpolitik sebaliknya menunggu pilihan raya akan datang.
Sultan Ibrahim juga dilihat mahu memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi diraja dan meningkatkan persepsi positif terhadap badan kehakiman apabila mengesyorkan pelantikan hakim diasingkan daripada badan eksekutif.
Baginda mencadangkan supaya kerajaan menyerahkan senarai nama calon hakim yang layak kepada Majlis Raja-Raja sebelum melantik berdasarkan nasihat Perdana Menteri selepas disyorkan panel pelantikan.
Maka benarlah apa yang dititahkan Sultan Ibrahim ketika Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru pada November tahun lalu iaitu pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bukanlah satu kenaikan pangkat tetapi tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.
Keutamaan Seri Paduka bukan untuk menjaga kepentingan politik 222 wakil rakyat tetapi 33 juta rakyat dan perkara itu akan menjadi kepentingan baginda.
“Saya merasakan negara hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu semasa di Pasir Gudang iaitu virus perpecahan.
“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” titah Seri Paduka. – UTUSAN






