SETIU: Seorang peniaga maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 35.5, Lembah Bidong Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden, Mohd. Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 12.50 tengah hari.
Menurutnya, kejadian itu melibatkan sebuah Toyata Avanza, lori jenis Hino Rigid dan
sebuah bas persiaran.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan pemandu Toyota Avanza, Nik Nabilah Nik Abdul Ghaffar, 36, maut di lokasi kejadian manakala penumpang belakang, Wan Muhammad Aqil Wan Zulkhairi, 16, mengalami kecederaan di tangan kanan.
“Sementara itu, pemandu serta kelindan lori dan bas tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd. Zain memberitahu, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Besut menghala ke Wakaf Tembesu, manakala lori jenis Hino Rigid pula dalam perjalanan dari Bukit Payung, menghala ke Pengkalan Chepa, Kelantan, dan bas persiaran dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus ke Jeti Merang Setiu, Terengganu.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika MPV dipandu Nik Nabilah hilang kawalan di lokasi kejadian lalu bergesel dengan bahagian sisi belakang sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.
“Selepas itu kenderaan tersebut sekali lagi bertembung pula dan sebuah bas persiaran yang juga datang dari arah bertentangan,” katanya.
Mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Setiu, Terengganu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa yang maut juga dibawa ke Unit Forensik Hospital yang sama untuk tindakan lanjut. – UTUSAN






