PETALING JAYA: Rekaan baju atlet kebangsaan untuk upacara perasmian Sukan Olimpik 2024 di Paris dikritik kerana tidak melambangkan kepelbagaian budaya dan bangsa yang ada di negara ini.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, baju rekaan pereka fesyen terkenal negara iaitu Rizman Ruzaini itu tidak melambangkan kepelbagaian rakyat Malaysia.
“Inikah pakaian rasmi delegasi Malaysia ke Olimpik yang Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) bangga-banggakan itu?
“Mana janjinya terhadap kepelbagaian? Ciri-ciri kaum lain sudah terpadam sepenuhnya, ini tidak mencerminkan ciri-ciri Malaysia. Malah, tiada kena mengena dengan sukan. Gagal,” tulisnya di dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu Hannah dan timbalannya, Adam Adli mengumumkan persalinan rona hijau zaitun yang akan digayakan oleh kontinjen negara pada pembukaan Sukan Olimpik 2024 yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Busana yang mendapat sentuhan pereka duo itu bertemakan Manis dan Sopan dengan atlet wanita akan menggayakan busana tradisional kerubung yang sinonim dengan wanita Malaya dan digandingkan bersama baju Melayu Teluk Belanga untuk atlet lelaki sebagai junjungan kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor. – UTUSAN






