KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung kerugian RM185 juta selepas kerajaan melupuskan 9.1 juta dos vaksin Covid-19 setakat 11 Jun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelupusan itu turut melibatkan beberapa perkara antaranya logistik dan penyimpanan stok.
Bagaimanapun, beliau tidak berpandangan buruk terhadap menteri Kabinet terdahulu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan vaksin Covid-19.
Katanya, sejak program imunisasi Covid-19 bermula pada 24 Februari 2021, kerajaan menerima 84.5 juta dos vaksin sama ada melalui perolehan atau sumbangan.
“Atas persoalan berapa kerugian, saya tidak bermaksud negatif terhadap menteri-menteri terdahulu sebelum saya.
“Bagi menteri-menteri terdahulu sebelum saya, mereka tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan dengan itu saya faham kalau ada kelebihan ia terkait dengan persaingan untuk mendapatkan vaksin itu adalah sangat sengit,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berhubung jumlah sebenar vaksin Covid-19 yang terpaksa dilupus kerana telah tamat tempoh dan berapa anggaran kerugian ditanggung kerajaan.
Dzulkefly berkata, kerajaan menerima 26 laporan membabitkan kesan sampingan serius akibat penerimaan vaksin Covid-19 termasuk kemasukan ke dalam wad atau membahayakan nyawa.
“Kami mengakui dan sangat sedar serta ada pemantauan berterusan oleh Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) .
“Setiap satu kematian itu kita akan susuli dengan forensik bagi mengenal pasti terkait sebab musabab akan kes serius itu yang sentiasa diambil tanggungjawab,” katanya.- UTUSAN






