YAZD, Iran: Sebanyak 28 maut, sementara 23 yang lain cedera selepas sebuah bas yang dinaiki sekumpulan warganegara Pakistan yang mahu menghadiri satu upacara keagamaan terbabas dan terbakar di wilayah Yazd, tengah Iran, malam tadi.
Reuters melaporkan, ketika kejadian, bas membawa 53 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari wilayah Sindh, Pakistan ke Karbala di Iraq.
Semua mangsa dipercayai berasal dari Larkana, Ghotki dan Sindh.
Pengarah Pengurusan Bencana, Ali Malekzadeh berkata, bas tersebut turut terbakar dalam kejadian di hadapan Pusat Pemeriksaan Dehshir-Taft di Iran, kira-kira 681 kilometer di selatan Teheran.
“Tujuh mangsa yang cedera berada dalam keadaan parah. Mangsa yang maut terdiri daripada 11 wanita dan 17 lelaki,” jelas beliau.
Tambahnya, kejadian dipercayai berlaku akibat masalah teknikal seperti brek dan kegagalan pemandu mengawal kenderaan dengan baik.
Susulan kejadian itu, Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari mengarahkan Kementerian Luarnya membawa pulang mangsa yang maut dan memberi bantuan segera kepada mereka yang cedera.
Duta Besar Pakistan di Iran, Muhammad Mudassir Tipu berkata, beliau turut berhubung dengan pihak berkuasa tempatan di Yazd bagi memudahkan urusan warganegaranya. – AGENSI






