DHAKA: Bangladesh dijangka menaikkan kadar faedah dari 8.5 peratus kepada 9 peratus beberapa hari lagi, satu keadaan yang dijangka memberi kesan kepada rakyat negara ini ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi.
Gabenor Bank Negara Dr Ahsan H Mansur yang baru dilantik dalam satu temu bual eksklusif dengan BBC berkata, kadar faedah itu akan meningkat lebih tinggi kepada 10 peratus atau lebih dalam bulan-bulan akan datang untuk mengekang inflasi.
Dalam temu bual itu, Dr Ahsan berkata, beliau juga akan memberi penekanan kepada usaha membersihkan sektor perbankan negara daripada ‘kecurian terancang’ dalam sistem kewangan yang telah menjejaskan bank, pasaran saham dan ekonomi secara umum.
Beliau merujuk kepada pengeluaran deposit dan kenaikan mendadak dalam aset tidak berbayar berikutan kegagalan oleh kumpulan yang didakwa berkaitan dengan kerajaan Liga Awami, pimpinan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
“Aset tidak berbayar itu adalah ‘rompakan’ terhadap bank. Mereka mengambil wang dan meletakkannya di Singapura, Dubai, London dan tempat-tempat lain.
“Jadi usaha pertama adalah untuk cuba membawa individu terlibat ke muka pengadilan dan mendapatkan semula wang itu,” katanya.
Tambah Dr Ahsan, Bangladesh juga perlu membina semula sistem perbankan menerusi penubuhan Suruhanjaya Perbankan yang berperanan melakukan audit menyeluruh dan mencadangkan langkah-langkah seperti perubahan lembaga pengarah, perubahan pengurusan, suntikan modal serta penggabungan bank-bank kecil.
Kenaikan harga barang yang mendadak menjadi kebimbangan utama rakyat Bangladesh, dengan matawang negara juga berada di bawah tekanan berikutan penghantaran wang yang menurun dan eksport pakaian yang terjejas teruk akibat ketidakstabilan politik.
Dr Ahsan, seorang ahli ekonomi veteran yang telah berkhidmat selama 30 tahun dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dilantik sebagai Gabenor Bank Bangladesh minggu lalu oleh kerajaan sementara yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus.
Bekas Gabenor Abdur Rouf Talukder dan dua lagi Timbalan Gabenor, meletak jawatan sebagai sebahagian daripada peralihan birokrasi selepas kejatuhan kerajaan pimpinan Hasina. – AGENSI






