SEREMBAN: Kementerian Luar belum membuat sebarang keputusan untuk membawa pulang Batalion Malaysia 850-11 (Malbatt 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, susulan kebimbangan konflik di Asia Barat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan malah menjelaskan, pasukan Malbatt 850-11 adalah di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kalau mahu buat sendiri susah sebab ini perjanjian kita dengan PBB dan merekalah akan yang menguruskan sama ada kita berundur atau bawa keluar.
“Setakat pagi ini belum ada keputusan daripada PBB ataupun pasukan pengaman, bagaimanapun saya sentiasa berhubung pihak kedutaan di sana dan berhubung rakan sejawat saya di Kementerian Pertahanan.
“Apa jua dilakukan kita akan bekerjasama supaya urusan pengunduran dapat dibuat sebaik mungkin. Di Lubnan lain sikit kerana diuruskan PBB,” katanya kepada pemberita di Wisma Negeri di sin,i hari ini.
Mohamad dalam pada itu berkata, beliau juga telah berhubung dengan pejabat Wisma Putra untuk melihat tindakan selanjutnya mengenai perkara itu.
“Amaran perjalanan telahpun kita keluarkan. Di Lubnan, rakyat Malaysia tak ramai, yang ramai di situ 880 orang sahaja dan sebahagian besarnya 860 orang merupakan anggota tentera kita yang menjadi sebahagian anggota pengaman PBB Malbatt 850-11,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, siri protes yang sedang berlaku di beberapa kawasan susulan kejadian tikaman di Southport, United Kingdom pada 29 Julai lalu amat membimbangkan kerana dilihat beralih kepada corak keganasan.
“Yang menjadi mangsa ialah pihak bukan berkulit putih, khususnya institusi Islam. Ini amat mendukcitakan. Wisma Putra telahpun mengeluarkan kenyataan menasihati semua rakyat Malaysia agar tidak berada di tempat dijangka selalu menjadi kawasan sasaran.
“Kalau tiada apa-apa jangan keluar dan sentiasa berhubung dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia agar kita dapat tahu rakyat Malaysia berada dalam keadaan baik,” katanya. – UTUSAN






