NEW YORK: Pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing menghentikan sementara ujian penerbangan model 777X selepas kerosakan ditemui pada satu komponen yang menghubungkan enjin dan badan pesawat.
Boeing dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu dibuat selepas pihaknya mengenal pasti kegagalan pada bahagian tersebut yang kini sedang diperbaiki.
“Kerosakan itu dikesan semasa penyelenggaraan berjadual,” jelas gergasi aeroangkasa AS itu dalam satu kenyataan kepada AFP.
Jelas kenyataan itu, Boeing sedang berusaha memperbaiki masalah tersebut sebelum penerbangan ujian boleh disambung semula.
Pesawat itu dilapor telah melakukan ujian penerbangan selama lebih lima jam dari Hawaii sebelum masalah tersebut ditemui.
Boeing berdepan beberapa kontroversi keselamatan dan kawalan kualiti dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk melibatkan pesawat Boeing 737 MAX milik Alaska Airlines pada bulan Januari lalu apabila masalah pada palam pintu mengakibatkan struktur tersebut pecah di udara.
Ketua Pegawai Eksekutif baharu Boeing, Kelly Ortberg, 64, yang mengambil alih jawatan awal bulan ini, berjanji untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap syarikatnya.
Pesawat 777X Boeing yang diperkenalkan pada November 2013, merupakan tambahan terbaru kepada model 777 yang popular.
Pesawat itu yang juga jet penumpang dua enjin terbesar di dunia, kini menerima 500 tempahan tetapi belum memulakan perkhidmatan komersial. – AGENSI






