LONDON: Risiko bunuh diri bagi doktor wanita adalah 76 peratus lebih tinggi daripada populasi dunia, demikian menurut pendedahan satu kajian yang dijalankan di 20 buah negara.
Dalam kajian yang didedahkan di jurnal BMJ itu, sekumpulan penyelidik diketuai oleh Universiti Vienna di Austria menganalisis hasil kajian yang diterbitkan antara 1960 sehingga tahun ini yang membandingkan kadar bunuh diri dalam kalangan doktor dengan populasi umum.
Penyelidik mendapati, daripada 39 kajian di 20 negara itu, tiada peningkatan keseluruhan dalam risiko bunuh diri bagi doktor lelaki berbanding dengan populasi umum, namun kadar bagi doktor wanita ialah 76 peratus.
Satu analisis berasingan pula menunjukkan, doktor lelaki mempunyai risiko bunuh diri yang lebih tinggi berbanding kumpulan profesional lain yang mempunyai status sosioekonomi sama.
Analisis terhadap 10 kajian terkini berbanding dengan kajian lama juga menunjukkan penurunan kadar bunuh diri dari semasa ke semasa untuk doktor lelaki dan wanita.
“Pandemik Covid-19 baru-baru ini menambah tekanan terhadap kesihatan mental doktor, yang boleh meningkatkan risiko bunuh diri akibat kemurungan dan penggunaan bahan terlarang,” jelas penemuan tersebut.
Dalam sebuah artikel berkaitan, badan amal yang menawarkan sokongan kepada pekerja penjagaan kesihatan, Doctors in Distress, mengambil maklum tentang keperluan mendesak dalam kolongan doktor wanita yang memerlukan bantuan.
“Semua pihak termasuk penyelidik, pembuat dasar dan pihak berkuasa kesihatan perlu meneliti punca-punca tekanan dihadapi doktor wanita.
“Golongan ini mesti mempunyai akses kepada intervensi awal dan perkhidmatan rawatan sulit supaya mereka tidak menderita dalam diam,” jelas badan amal itu. – AGENSI






