KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) komited meneruskan program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) dengan segera untuk mengatasi masalah tangga bayaran standard.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, isu bayaran rendah kepada pelakon tidak kira filem, drama mahupun teater seharusnya dapat diatasi dengan MyCAP.
“Baru-baru ini timbul isu bayaran pelakon teater rendah. Kita faham artis dari pentas teater sebenarnya lagi berkualiti dari segi penyampaian dan lakonan mereka. Tidak seharusnya mereka menerima layanan kelas kedua.
“Justeru, Finas mahu pastikan perjalanan karier seni mereka dapat dilihat semua sudut dan kemahiran dalam bidang lakonan selari dengan kadar bayaran.
“Melalui program MyCAP, kita sertakan dengan ‘data base’ untuk tujuan akreditasi di mana kita akan tahu mereka adalah tahap profesional, ‘junior’ atau baru tamat pengajian,” ujarnya selepas merasmikan Beyblade X Southeast Asia Cup (SEA Cup) baru-baru ini.
Dalam acara sama, Azmir turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Takaratomy dan ADK Emotions InC dengan syarikat tempatan, Animasia Studio Sdn. Bhd. dan One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP).
Sementara itu, Azmir berkata, pelakon dan kru produksi tidak kira bidang perlu mewujudkan satu mekanisme untuk dilindungi melalui kontrak standard yang memberi pulangan adil kepada semua.
“Syarikat besar seperti Skop Productions dan Multimedia Entertainment mempunyai kontrak sedia ada, terma atau ‘standard’ tangga gaji minimum.
“Isu ini lebih kepada ‘independent’ produser sederhana dan kecil yang kadang-kadang mengambil seseorang artis untuk berlakon tanpa sebarang kontrak. Ikut suka hati mereka.
“Apabila ada isu mahu dibangkitkan kepada pihak persatuan, sukar untuk kita mahu pertahankan mereka kerana tiada kontrak,” ujarnya.
Mengenai kerjasama animasi, Azmir berkata, Finas juga komited menyokong dan mempromosikan industri kreatif tempatan dan menggalakkan lebih ramai pemain tempatan untuk bekerjasama dengan jenama mega antarabangsa seperti Beyblade.
“Kita mahu menambah baik industri kreatif dan membuka pintu untuk belajar daripada kejayaan jenama-jenama seperti Beyblade bagi mempertingkatkan pengalaman penonton baik di dalam negara mahupun di peringkat global,” katanya. – UTUSAN






