TEHERAN: Iran mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan sistem bayaran maritim di Selat Hormuz dalam tempoh dua bulan, selepas tempoh rundingan 60 hari susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) damai dengan Amerika Syarikat (AS).
Teheran yang mendakwa mencapai kemenangan bersejarah ke atas AS, menegaskan selat strategik itu berada di bawah kawalannya dan berkata, cadangan Eropah untuk mewujudkan misi pengiring kapal di perairan tersebut tidak dialu-alukan.
AS pada Khamis menarik balik sekatan terhadap Iran, sekali gus membolehkan kapal tangki minyak kembali bergerak bebas melalui laluan penting itu selepas ditutup pada 28 Februari akibat perang ASia Barat.
Selat itu merupakan laluan perairan strategik yang biasanya digunakan untuk mengangkut kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Amaran Iran itu dibuat ketika akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, negaranya akan terus mengekalkan zon keselamatan di selatan Lubnan selagi keperluan keselamatannya memerlukan. Beliau merujuk kepada lebih 600 kilometer persegi wilayah Lubnan yang masih diduduki tentera Israel di kawasan sempadan.
Mengenai Iran, Netanyahu berkata, Israel akan terus berpegang kepada objektif tertinggi untuk menghalang Teheran daripada memperoleh senjata nuklear.
Iran pula menegaskan perjanjian yang merujuk kepada integriti wilayah Lubnan memerlukan pengunduran penuh Israel, sekali gus meletakkan Presiden AS, Donald Trump sebagai pihak yang bertanggungjawab memastikan pengunduran itu berlaku.
Trump pada petang Khamis berkata, Washington menjangkakan gencatan senjata sepenuhnya di semua medan, termasuk Lubnan, Hizbullah dan Israel.
“Kami menggalakkan semua pihak di rantau Asia Barat untuk terus komited bagi membolehkan rundingan ini berlangsung dengan baik,” tulis Trump di platform Truth Social, miliknya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, dilaporkan meluluskan perjanjian dengan AS dan menyokong rundingan secara langsung dengan pasukan Trump.
Syarat-syarat perjanjian yang dicapai Trump turut menerima kritikan daripada ramai ahli politik dan media Israel. Sebuah rencana pendapat dalam Times of Israel yang menyifatkan perang AS-Israel terhadap Iran sebagai gagal akibat kelemahan presiden AS menggambarkan sentimen yang semakin berkembang di negara itu.
Naib Presiden AS, JD Vance, tampil mempertahankan Trump pada Khamis dan mengkritik pihak di Israel yang menyerang presiden itu.
“Trump adalah satu-satunya ketua negara di dunia yang masih bersimpati terhadap Israel ketika ini.
“Jika saya berada dalam Kabinet Israel, saya tidak akan menyerang satu-satunya sekutu berkuasa yang masih saya miliki di dunia,” kata Vance dalam taklimat di Rumah Putih.
Ketegangan terhadap perjanjian itu semakin ketara apabila majlis rasmi menandatangani memorandum persefahaman antara AS dan Iran yang dijadual berlangsung pada Jumaat dibatalkan.
Trump dan rakan sejawatannya dari Iran, Masoud Pezeshkian bagaimanapun telah menandatangani dokumen tersebut dalam versi bahasa Inggeris dan Parsi pada Rabu.
Pembatalan majlis rasmi itu bermakna Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang bertindak sebagai pengantara utama, tidak lagi akan berkunjung ke Switzerland, satu tamparan kepada Islamabad yang berharap dapat meraih perhatian antarabangsa menerusi peranan tersebut.
Negara-negara yang bertindak sebagai pengantara dalam konflik itu, termasuk Pakistan, Arab Saudi dan Turkiye, dijadual mengadakan pertemuan di bandar Alamein, Mesir, pada Ahad untuk membincangkan perjanjian berkenaan, menurut kenyataan Kaherah serta Islamabad.
Iran berkata, rundingan peringkat teknikal antara kedua-dua pihak akan diteruskan di pusat peranginan mewah Burgenstock milik Qatar yang terletak di kawasan pergunungan berhampiran Tasik Lucerne, Switzerland.
Rundingan itu, yang merupakan pertemuan langsung pertama antara kedua-dua pihak sejak mereka bertemu di Islamabad pada 12 April lalu, akan tertumpu kepada pelaksanaan memorandum 14 perkara dalam perjainjian tersebut. Ia termasuk mekanisme untuk menarik balik sekatan ke atas eksport minyak Iran dan memastikan trafik perdagangan dapat kembali bergerak bebas melalui Selat Hormuz.
Bagaimanapun, harapan Selat Hormuz akan kembali menikmati kebebasan pelayaran sepenuhnya menerima tamparan apabila ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata laluan itu perlu diuruskan dan pengurusan tersebut akan melibatkan kos tertentu.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, bagaimanapun mempertikaikan rancangan Iran itu.
“Pengurusan selat itu berjalan dengan baik sebelum konflik tercetus. Tiada masalah, kapal bergerak bebas. Tiada isu keselamatan mahupun alam sekitar.
“Jadi mengapa kita perlu menerima satu pengaturan baharu yang dikenakan akibat konflik ini? Bagi saya, ia tidak masuk akal. Kita perlu kembali kepada keadaan asal kerana sistem itu telah berfungsi dengan baik,” katanya.






