JAKARTA: Lebih ramai jururawat negara ini memilih untuk bekerja di Singapura berikutan tawaran gaji yang lumayan dan peluang kenaikan pangkat.
Menurut Pengarah Penempatan dan Perlindungan Pekerja Asing di Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, Rendra Setiawan, dalam tempoh setahun sejak Jun tahun lalu, sebanyak 66 jururawat kini berkhidmat dengan hospital kerajaan di Singapura seperti Hospital Tan Tock Seng dan Hospital Besar Changi.
Katanya, mereka ditempatkan di Singapura menerusi satu program diperkenalkan kerajaan pada tahun lalu menerusi agensi-agensi swasta.
“Kebanyakan daripada jururawat ini bermula sebagai pembantu kesihatan di Singapura. Mereka perlu lulus ujian Lembaga Jururawat Singapura untuk menjadi jururawat berdaftar,” kata Rendra.
Tambah Rendra, kerajaan menyokong penghantaran jururawat ke republik berkenaan menerusi agensi swasta sebagai orang tengah.
Menurut data Kementerian Kesihatan, Singapura memerlukan lebih 24,000 tambahan jururawat dan pekerja kesihatan menjelang 2030.
Sebelum ini, Indonesia tidak memperkenalkan sebarang program menghantar jururawat ke Singapura antaranya disebabkan kekurangan jururawat mahir berbahasa Inggeris serta keperluan menduduki peperiksaan Lembaga Jururawat Singapura.
Ketua Cawangan agensi pekerjaan Talent Angels yang membawa masuk jururawat Indonesia ke Singapura, Judy Low Lai Kwan berharap dengan inisiatif kerajaan, lebih ramai jururawat Indonesia berminat dengan peluang kerja ditawarkan di Singapura. – AGENSI






