GAZA CITY: Permintaan tembikar di Gaza meningkat berikutan penduduk terpaksa memerlukannya untuk menyimpan air bagi kegunaan harian.
Sebelum ini, industri tembikar hampir dilupakan kerana penduduk Gaza menyimpan air di peti sejuk dan hanya dijadikan hiasan dalaman.
Pemilik kilang tembikar, Bahjat Sabri Attallah berkata, penduduk Gaza kini menggunakan periuk tanah liat bagi menyimpan air agar kekal sejuk.
“Permintaan tembikar meningkat selepas serangan udara Israel mengakibatkan kemusnahan besar.
“Bekalan elektrik yang terhad membuatkan kami tidak boleh bergantung kepada peti ais untuk menyejukkan minuman,” katanya kepada Reuters.
Gaza kini berdepan masalah elektrik apabila banyak pencawang elektrik musnah dibom Israel sehingga memaksa penduduk mendapatkan bekalan elektrik menggunakan tenaga solar dan alat penjana elektrik.
Bagaimanapun Bahjat berkata, dia menghadapi kesukaran membuat tembikar kerana terpaksa menggunakan kaki untuk memutar roda dan membentuk tanah liat secara manual.
“Dulu kami menggunakan mesin elektrik, kini kami membentuk tanah liat secara manual menggunakan kaki,” tambahnya.
Bahjat berkata, permintaan terhadap pinggan atau mangkuk tembikar bagaimanapun berkurang ekoran krisis bekalan makanan yang dihadapi penduduk di Gaza.
Selain itu, rakyat Palestin turut menghadapi krisis kemanusiaan antaranya kekurangan bahan api serta penyebaran penyakit seperti polio.
Angka penduduk Gaza yang maut akibat serangan Israel kini berjumlah lebih 40,000 orang sejak konflik melanda wilayah itu bermula Oktober tahun lalu.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan jumlah itu merangkumi 16,456 kanak-kanak dan 11,000 wanita manakala 10,000 orang lagi dipercayai hilang dalam runtuhan bangunan. – AGENSI






