PUTRAJAYA: “Jangan cuba tuntut itu dan ini, sebaliknya fahami semangat yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.”
Itu ingatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada rakan dalam komponen parti kerajaan berhubung polemik pemilihan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO setakat ini belum berbincang bagi memuktamadkan calon PRK DUN Mahkota.
“Sila hormati kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi tu akan diberikan kepada parti berkenaanlah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Simposium Luar Bandar Malaysia di sini, semalam.
Katanya, masih terlalu awal untuk mengeluarkan kenyataan mengenai calon PRK itu, namun atas semangat perpaduan ia perlu dilakukan atas kesepakatan kerajaan negeri dan kepimpinan pusat terlebih dahulu.
“Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain baru sahaja meninggal dunia. Kita kena simpati dengan keluarganya dan jangan tergopoh-gapah untuk membuat formula politik,” katanya.
Jelasnya lagi, kenyataan sebelum ini datang daripada ketua pemuda bahagian sahaja bukannya pemimpin di peringkat pusat.
Amanah Kluang sebelum ini dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota yang akan diumumkan tidak lama lagi berikutan Amanah pernah memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyifatkan tindakan Amanah tersebut sebagai gelojoh dan tamak.
Sementara itu, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman percaya kepimpinan Kerajaan Perpaduan amat peka tentang persefahaman dan ketetapan mengikut terma yang telah dipersetujui secara bersama di peringkat nasional dalam beberapa siri PRK yang diadakan sebelum ini.
Beliau berharap perbincangan membabitkan kepimpinan tertinggi parti dalam gabungan berjalan secara matang untuk memastikan kerjasama dapat diteruskan dan demi masa depan negeri dan negara.
“Jangan kerana perebutan kerusi DUN Mahkota, kita hilang arah dan punca untuk mendapatkan tempat dan jawatan dalam kerajaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, budaya UMNO dan BN adalah tidak tergesa-gesa untuk meletakkan calon selain menghormati keluarga Allahyarham dan pihak lain juga perlu sensitif tentang perkara itu. – UTUSAN






